Sunday, June 17, 2012

~ AMAR MAK'RUF NAHI MUNGKAR ~


Sahabat saudaraku Fillah yang dikasihi Allah SWT,
Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kita kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana suatu hari tiba suatu saat di mana kemaksiatan , kemungkaran tersebar di mana-mana dan tidak ada suruhan kepada kebaikan serta tidak ada yang mencegahnya dari berbuat kemungkaran, maka akan ditimpakan kepada kita wabak penyakit, malapetaka, musibah-musibah kerana meninggalkan keta'atan kepada Allah SWT.

Apabila berlaku keadan seperti itu, setelah kita berdoa kepada Allah SWT dengan menyebut-nyebut nama-Nya, namun DIA tidak menerima doa kita dan kita memohon kepada-Nya untuk menghilangkan bencana itu namun DIA tidak mengabulkan doa kita dan kita memohon pertolongan Allah SWT dari musuh-musuh kita serta apa yang menimpa kita, namun DIA tidak menolong kita.

Dari Umar bin Abdul Aziz berkata : ‘Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menyiksa orang-orang awam kerana dosa-dosanya orang-orang tertentu tetapi kerana perbuatan dosa itu bermaharajalela dan terang-terangan tetapi tidak ada yang menegur, maka bererti semuanya sudah layak menerima hukuman. ( Allah s.w.t. seratakan hukuman dan balasan terhadap orang yang melakukan dosa dan maksiat atau penderhakaan terhadap Allah s.w.t. juga kepada yang tidak melakukan dosa turut sama terkena hukuman kerana tiada yang mencegah perbuatan dosa atau maksiat atau penderhakaan terhadap Allah s.w.t. yang berleluasa)’.

Dan diriwayatkan bahawa Allah s.w.t. telah mewahyukan kepada Yusya bin Nuh a.s. : ‘Aku akan membinasakan dari kaummu empat puluh ribu orang yang baik-baik dan dan enam puluh ribu orang yang derhaka’. Nabi Yusya’ bertanya : ‘Ya Tuhan, orang-orang yang derhaka itu memang layak dibinasakan tetapi mengapakah orang-orang yang baik itu turut sama dibinasakan?’ Jawab Allah s.w.t. : ‘Kerana mereka tidak murka terhadap apa yang Aku Murka bahkan mereka makan dan minum bersama mereka yang derhaka itu’.

Allah SWT berfirman : “Dan hendaklah ada di antara segolongan kamu, umat yang menyeru kepada kebaikan, meyuruh kepada yang mak’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung”. (Qs Ali Imran ayat : 104)

(Luqman mensihati anaknya) : “ Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang mak’ruf dan cegahlah yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)”. (Qs Luqman ayat : 17)

Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu adalah merupakan hal utama yang sangat berpengaruh di dalam Agama. Inilah kepentingan dan maksud perutusan Allah SWT akan para Nabi-Nabi kepada kita. Jika seandainya pekerjaan ini ditinggalkan serta mengabaikan ilmu dan amalannya, maka rosaklah risalah kenabian dan hilanglah Agama lalu tersebarlah kesesatan, meluaslah kejahilan, berlakulah kehancuran di mana-mana, hancurlah negeri-negeri, binasalah hamba-hamba dan mereka tidak merasakan kebinasaan yang sebenarnya kecuali pada hari berkumpulnya semua makhluk (pada hari Kiamat).

Maka sesungguhnya menyuruh kepada yang mak’ruf dan mencegah kepada yang mungkar memiliki kebaikan dan faedah di dalamnya. Di antaranya, kita akan masuk ke dalam golongan orang-orang yang memperolehi kemenangan dan kebaikan. Kita akan masuk ke dalam golongan orang-orang yang beriman. Ini adalah dakwah yang mengandungi setiap kebajikan.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya. Jika ia tidak sanggup, maka hendaklah Ia mencegahnya dengan lisannya. Jika ia tidak sanggup maka ia mencegahnya dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah Iman”. (H.R. Muslim)

Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda : ‘Anjurkanlah kebaikan itu meskipun kamu belum dapat mengerjakannya. Dan cegahlah segala yang mungkar meskipun kamu belum menghentikannya ‘.

Menyuruh kepada kebaikan ertinya bahawa meyuruh (selain dirimu) untuk bertauhid kepada Allah. Menta’ati-Nya dan mendekatkan diri kepada-Nya, berbuat baik kepada manusia dari apa yang patut dan sesuatu yang bermanfaat. Dan Mencegah dari kemungkaran bermaksud mencegah manusia dari kemaksiatan dan dari melakukan setiap yang dilarang Allah SWT dan perkara yang dicela-Nya.

♥ KATAKANLAH KAMI BERIMAN KEPADA ALLAH YANG MAHA PEMURAH DAN PENGIKUT SETIA KEPADA RASUL (MUHAMMAD SAW) DARI MADINAH ♥



No comments:

Post a Comment